Tiga beranak maut treler dinaiki terbabas di Gopeng

GOPENG – Tiga beranak maut selepas treler muatan simen yang dinaiki mereka terbalik di Jalan Lama Kota Bharu di sini malam tadi.

Dalam nahas tersebut, mangsa, Hafizi Nizam, 30, dan dua anak lelakinya masing-masing berusia enam dan lapan tahun maut di tempat kejadian.

Ketiga-tiga mereka mengalami kecederaan parah kerana tersepit dalam kenderaan berat berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, sepasukan anggota dihantar ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.28 malam.

Katanya, setibanya di lokasi, didapati tiga mangsa tersepit dalam kemalangan membabitkan sebuah treler muatan simen yang terbabas di bahu jalan.

“Operasi mengeluarkan mangsa segera dilakukan namun mengalami kesukaran kerana kedudukan treler berkenaan dalam keadaan terbalik.

“Bantuan kren dan jentolak digunakan bagi mengalihkan kenderaan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Ketiga-tiga mangsa yang mengalami kecederaan parah bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat tiga beranak itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 2.19 pagi tadi. – UTUSAN ONLINE